Sepintas Lalu

Pakaian orang Melayu kini lahir daripada pertumbuhan dan perkembangan pakaian orang dahulu kala melalui proses ubah ansur. Proses ini bukan sahaja berlaku akibat peradaban awal masyarakat di tempat itu sendiri, malahan yang lebih penting akibat pengaruh daripada pedagang India,Cina,Arab dan Eropah. Unsur-unsur tamadun dari timur dan barat ini diolah dan digabungkan menjadi satu budaya yang beraneka rupa indah dan unik.


Pakaian kaum lelaki yang masih poluar hingga ke hari ini ialah Baju Melayu, manakala pakaian wanita yang masih popular hingga ke hari ini termasuklah baju kurung,baju kebaya panjang,baju kebaya pendek,baju kurung Kedah, baju kurung Pahang. Selain itu terdapat juga pakaian yang dianggap klasik seperti pakaian Puteri Perak,Cik Siti Wan Kembang, Baju Menora dan Baju Minangkabau.

Apabila disebut sahaja baju kurung tergambarlah kepada kita pakaian yang labuh,besar dan meyelubungi seluruh badan, namun begitu baju ini sentiasa menjadi pilihan wanita Melayu samada sebagai pakaian ke majlis rasmi ataupun sebagai pakaian harian sahaja. Pakaian ini menampilkan ciri-ciri keayuan dan kesopanan kepada pemakainya selain menambahkan kelembutan kepada gerak geri seorang gadis yang berpadanan pula dengan personaliti Melayu Sejati